Thursday 13 October 2011

Sokongan Terhadap UMNO Semakin Pulih - Mustapa

TANAH MERAH 12 Okt. - Kegagalan kerajaan Pas Kelantan menunaikan janji mereka untuk membantu rakyat dan membangunkan negeri ini menyebabkan semakin ramai penyokong tegar parti itu kini beralih kepada UMNO.

Terbaru, seramai 300 penyokong setia Pas di Ulu Kusial, dekat sini bertekad menyertai UMNO kerana merasa tertipu oleh Pas lebih-lebih lagi pemimpin tempatannya yang dianggap tidak cakna rakyat.

Penyerahan borang keahlian mereka diserahkan sendiri kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Majlis Selamat Tinggal Pas di Taman Perumahan Ulu Kusial, dekat sini malam tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Bekas Ketua Pas Cawangan Kampung Kusial Baharu, Zahari Mamat, 46, berkata, perjuangannya dalam Pas selama ini tidak berguna ekoran pemimpin parti itu yang tidak peka kepada masalah rakyat.

"Saya sudah menjadi ahli Pas ketika berumur 18 tahun dan memegang banyak jawatan dalam cawangan ini dan selama itulah setiap tahun saya akan kecewa dengan Pas.

"Apabila saya fikirkan semula, pemimpin UMNO lebih banyak buat kerja membantu rakyat di kawasan saya. Malah mereka lebih dikenali di sini berbanding pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini," tegasnya.

Rakannya, Kamaruddin Abd. Halim, 48, mengingatkan rakan-rakannya yang taksub kepada Pas agar sedar dan meninggalkan parti itu demi kepentingan keluarga masing-masing.

"Sejak boleh mengundi pada umur 21 tahun, saya menjadi penyokong kuat Pas pada bila-bila sahaja pilihan raya dan kami akan lakukan apa sahaja untuk tewaskan UMNO.

"Tetapi untuk pilihan raya akan datang, kami akan berjuang memberi kemenangan kepada UMNO untuk memerintah negeri ini dan membawa kemajuan di Ulu Kusial," katanya.

Sementara itu, Mustapa ketika berucap pada majlis itu menyatakan kesyukuran dengan kesedaran ramai ahli Pas yang kini mula terbuka hati mereka untuk menyertai UMNO.

"Saya sangat gembira dengan keadaan ini, jika dahulu mereka menjauhi UMNO tetapi sekarang tidak lagi, mereka begitu berminat menyertai program yang kita anjurkan.

"Ribuan penyokong Pas pula menyertai UMNO yang membuktikan sokongan kepada UMNO semakin pulih dan kita akan pastikan nasib mereka terbela," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment